Feed on
Posts
comments

Ya ALLAH, hambaMU ini seorang yang lemah…

Bantulah aku untuk terus istiqamah dalam perjuanganku…

Berikan aku kekuatan agar jiwa ini sentiasa berada dalam ketenangan…

Aku perlukan cintaMU…

Allah

Allah49

780062498l1_1

 Harapanku PadaMU
Subur Kembali

Kasih
Allah; Kau Berikan-ku Keyakinan

www.iLuvislam.com
by: norayhunt

 

 New_picture
~iman penerang hati~


Alhamdulillah,
setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan nikmat
Iman dan Islam yang kuwarisi, nikmat kesihatan, masa lapang dan akal yang
waras. Bukan semua daripada manusia hari ini yang punya kesempatan untuk merasa
nikmat yang Kau berikan padaku Ya Rabbi. Lebih-lebih lagi nikmat Iman dan
Islam. Biarpun kedua nikmat ini aku warisi daripada kedua orang tuaku, dan
sahabat-sahabat ku pernah membincangkan soal Islam warisan yang majoritinya
terdiri daripada orang Melayu Islam, aku tetap bersyukur kerana lahirku dalam
agamaMu, dan aku harapkan perjalanan hidupku masih dalam agamaMu dan begitu
juga akhir hayatku masih tetap utuh peganganku pada agamaMu.


Setiap kejadian yang Kau takdirkan dalam hidupku, begitu banyak mendidik dan
mungkin istilah yang lebih tepat adalah mentarbiyah rohani ku yang selalu lupa
dan leka. Alhamdulillah Ya Karim…aku amat-amat bersyukur atas kurniaan yang Kau
berikan. Alhamdulillah, Kau kurniakan kepadaku mama dan abah yang beragama,
lebih-lebih lagi agama yang Kau redhai di sisiMu. Kerana dengan titik tolak
mama dan abah mengajarku dan adik-adik ketika kecil kewajipan solat, aku mula
kenal akan agamaMu. Kata mama, kita orang Islam perlu solat. Kalau tak, Allah
marah. Walaupun ketika itu aku dan adik-adik solat kerana gerun dengan
perkataan MARAH yang mama ungkapkan, juga kerana takut dirotan mama dan abah
dan bukan sepenuhnya ikhlas keranaMu, aku bersyukur Ya Rabbi kerana itu saatnya
aku bersujud padaMu, bertasbih padaMu walaupun aku sedar ketika itu aku masih banyak
tinggalkan perintahMu. Namun Ya Rabbi, Kau menjadi saksi bagaimana aku dan
adik-adik akan teruk dimarahi mama dan abah jika kami melalaikan solat.

New_picture_1


Alhamdulillah… Aku masih ingat bagaimana aku mula mengenal erti menutup aurat.
Dan aku percaya itu adalah ketentuanMu kerana setiap apa jua yang berlaku dalam
dunia adalah di bawah pengawasanMu. Walaupun umurku hanya 9 tahun, dan tujuanku
bertudung bukanlah sepenuhnya kerana menurut perintahMu, hanya kerana malu
kepada rakan-rakan sepermainanku yang ketika itu kebanyakannya sudah mula
bertudung, aku bersyukur Ya Rabbi atas kurniaan detik itu. Kerana itu permulaan
hidupku belajar menurut satu lagi tuntutan dalam agamaMu. Zaman kecilku yang
penuh dengan cubaan mengajar dan mendidikku menjadi matang seiring dengan
peningkatan umurku.

 

Zaman
berganti dan masa terus berlalu. Bagaimana Kau temukanku dengan mereka yang Kau
takdirkan kenal akan agamaMu dengan lebih mendalam. Aku dikelilingi dengan
sahabat-sahabat yang baik dan beriman, Alhamdulillah. Walaupun aku tahu, aku
bukanlah hambaMu yang baik Ya Karim, tapi Kau tetap peliharaku dengan kurniaan
sahabat-sahabat yang banyak mengingatkan ku. Walaupun ketika itu, aku ego dan
susah untuk terima, namun jauh di sudut hatiku, aku mengakui kebenaran
teguran-teguran mereka. Aku tahu yang mereka tegur atas dasar hak sahabat
kepada sahabatnya. Alhamdulillah, walaupun aku tidak mahu menzahirkannya, Kau
kurniakan aku rasa itu dan cukup dengan rasa itu buat aku berfikir sendiri.

New_picture_2


Keputusan perubahanku daripada bertudung biasa kepada bertudung labuh
mengejutkan keluargaku, terutama mama.
Kau menjadi
saksi bagaimana mama meluahkan rasa tidak selesanya kepadaku pada malam itu. Aku
hanya diam namun jauh dalam sudut hatiku, aku kecewa kerana tidak mendapat
sokongan daripada keluargaku, lebih-lebih lagi mama. Tapi entah mana datang
kekuatan itu Ya Karim…aku terus mempertahankan keputusanku dan dengan cara yang
lembut, aku terangkan pada mama dan abah. Kerana aku tahu Kau sentiasa
bersamaku. Alhamdulillah..mereka akhirnya dapat menerima walaupun aku perlu
menunggu lama. Benarlah soal hidayah bukan urusan manusia, hanya Kau yang
berhak ke atasnya. Kau menjadi saksi air mata kesyukuran ku mengalir bila mana
mama sendiri menawarkan sarung tangan dan sarung kaki yang sengaja dibelinya
ketika pulang dari Bandar. Kau sendiri menjadi saksi Ya Rabbi, hatiku sayu dan
sebak bila mama menjelaskan, abah yang meminta mama membelikanku semua itu. Alhamdulillah…amat
besar hadiahMu buatku Ya Rabbi.


Biarpun mungkin bagi mereka yang lain, itu hanya soal yang remeh, namun tidak
padaku kerana aku yang Kau takdirkan melaluinya. Namun aku tetap bersyukur Ya
Rabbi. Benarlah kurniaan nikmatMu terlalu banyak Ya Allah. Aku tidak mungkin
dapat menimbangnya, menulisnya, sekalipun mengingatinya, sejak mula Kau berikanku
kehidupan di dunia dan sehinggalah hari ini. Apa yang mampu ku lakukan Ya
Karim, terus berusaha menjadi hambaMu yang bertaqwa. Aku akan tetap berusaha Ya
Karim. Dan aku yakin, aku tidak punya sesiapa andai aku jauh dariMu biarpun
seluruh mereka yang berkuasa di dalam dunia sanggup menolongku. Kerana aku
punya memori itu. Ketika aku disisihkan mereka yang paling aku sayangi, Kau
berikan aku kekuatan itu. Alhamdulillah…


Kau berikan aku keyakinan yang Kau akan tetap berada di setiap nafasku, di
setiap urat nadiku, di setiap alir darahku. Alhamdulillah…Aku yakin setiap yang
Kau takdirkan kepadaku adalah sesuai dengan kesanggupanku kerana Kau begitu
sayang kepadaku. Aku memohon akan kekuatan itu….. " Ayu, cepatlah. Nanti
lambat ke kelas.."
sapa Aini, teman
sebilik ku bila dia melihat aku masih lagi di meja belajar, mengarang sesuatu. "
Ye…kejap…" Aku menekan button ‘Save’ pada MSW yang kugunakan.
Alhamdulillah…selesai. " Esok aku try hantar" Detik hati kecilku.
Dan kini karangan itu menjadi tatapan kalian. Alhamdulillah, Terima kasih.

Secoret Kenangan

Itulah doa saya sebentar tadi, semasa bersolat zohor.


“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah
mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika
diriku masih kecil”.


Entah kenapa, tiba-tiba hati saya terlalu tersentuh dengan doa
tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali saya membaca doa yang sama.
Adakah kerana rindu saya terhadap ayahanda yang sudah masuk 14 tahun
meninggalkan kami. Ya, saya rindukannya, terutamanya ketika hidup saya
diasak dengan pelbagai cabaran, dan saya rindukan tangan ayahanda yang
sering menepuk bahu agar masalah saya mengecil dan pergi oleh
senyumannya.


Apakah saya terharu kerana saya rindukan bonda di kampung. Kampung yang
sunyi, bersama teman-teman berbualnya yang pulang ke pangkuan Ilahi,
seorang demi seorang. Bonda memang kesepian, hanya panggilan telefon
dari anak-anaknya sahajalah pengubat sunyi itu. Mujurlah bonda kuat
membaca. Majalah I saya hantarkan setiap bulan, kulit ke kulit habis
dibacanya. Tazkirah Untuk Orang Mengaji oleh Ustaz Sonharji, saya
belikan dan cepat sekali bonda menghadamnya. Kata bonda, “jika sunyi
dan tak buat apa-apa, kenalah baca buku. Kalau dibiarkan otak beku,
nanti datang jemu dan nyanyuk, jadi pelupa dan kemudian susahlah
anak-anak nak melayan orang tua yang begitu.”


Saya memang rindukan emak. Emak juga rindukan suaminya. Jika diselak
langsir dapur, sayup-sayup kelihatan sepasang nisan pusara abah di tepi
masjid sebelah rumah. Emak sering termenung di tingkap itu, merenung
kisah silam mereka, dan kenangan manis membesarkan kami berlima. Arwah
opah pernah berkata, “aku hairan tengok kamu berlima ni. Dari kecil
sampai besar, tak pernah bergaduh. Walhal hero-hero belaka!” Saya juga
terkenang, memang kami berlima hero-hero belaka. Semua adik beradik
saya lelaki tetapi kami memang tidak pernah bergaduh.


Mungkin semua itu kerana watak abah. Dia menjadi tumpuan kami dan kami
sentiasa bergelak ketawa hingga ke meja makan. Kami tiada masa untuk
bergaduh kerana semua ketawa dan sedih kami adalah bersama abah. Namun
selepas abah pergi mengejut oleh serangan jantung, keluarga kami sunyi
hilang ketawa. Sepi..


Kucing-kucing belaan kami yang suka menjilat peluh abah semasa dia
sakit terlantar, turut mati seekor demi seekor. Begitulah kami di
rumah, tertumpu pada abah. Kini emak saya pula melayan sepi dan sunyi
itu sendirian. Saya sangka, saya sukar menemankan emak kerana saya
terhumban di hujung benua. Selepas lebih sedekad saya di luar negara,
saya segera pulang ke kampung halaman. Namun selepas bekerja di KL,
rupa-rupanya keadaan tidak banyak berubah. Saya masih sukar untuk balik
ke kampung, akibat Kuala Lumpur dan kehidupan saya yang amat menekan
masa.


Saya jatuh rindu dan saya mohon ampun dari Allah atas dosa saya membiarkan emak kesunyian di kampung.


Tetapi tengah hari tadi, saya tidak hiba kerana itu. Ada sesuatu yang
lebih halus darinya. Mungkin sebentar tadi, buat kali pertamanya saya
dapat merasakan apakah sebenarnya yang saya minta dari Allah, Tuhan
yang telah memberikan seorang ibu dan bapa yang pengasih kepada saya.


Mengapakah apabila saya merintih keampunan dari Allah, saya kaitkan ia dengan kasih sayang bonda dan ayah semasa saya kecil?


Hari ini saya berusaha memikirkan jawapannya.


“Rizal minta maaf emak sebab susah sangat nak balik ke Ipoh. Kerja tak
habis-habis. Lagi pun ada masanya Rizal cuti, tapi Muna pula yang
kerja. Saif selalu menyebut tentang opahnya. Naurah pun dah makin
besar. Imad pun dah pandai meniarap”, keluhan saya kepada emak beberapa
ketika yang lalu.


“Tak apa, mak pun minta maaf sebab jarang dapat ke Kuala Lumpur. Kaki
mak ni asyik sakit, kepala pun berat. Tak seronok nak berjalan-jalan
kalau begini. Datang rumah kamu pun nanti menyusahkan sahaja. Asalkan
kamu ingat emak dalam doa, Alhamdulillah”, itulah suara dari hati emak.


Semasa berdoa tadi baru saya sedar, emak amat pemaaf. Dia memaafkan
saya dan adik beradik yang lain tanpa menyoal apa-apa. Paling
menyerlah, pemaaf emak semasa saya kecil…

Saya pernah teringin untuk minum air sirap ros, tetapi patinya sudah
habis. Semasa emak sibuk menanda buku latihan anak-anak muridnya, saya
ke dapur dan cuba memasak gula di dalam periuk. Secawan gula dicampur
dengan pewarna merah, dimasak di atas api. Saya baru darjah tiga dan
tidak terfikir untuk menambah air. Akhirnya gula hangus dan beku,
periuk berkerak dan hampir mustahil untuk dibersihkan. Kerana takut,
saya simpan periuk itu di dalam kabinet dapur. Seminggu masa berlalu,
apabila emak terjumpa periuk itu, dia tahu itu angkara saya. Dia tidak
marah tetapi mencebikkan muka kesedihan.


“Emak tak marah?”, saya cuba memberanikan diri bertanya.


“Emak tak marah kamu cuba masak gula ni. Tapi emak sedih sebab kamu sorok periuk ni dalam kabinet”, itulah katanya.


Saya menangis kerana terasa bersalah cuba menipu emak dan dia dengan segera memujuk.

Saya pernah cuba membasuh kain sendiri, tetapi kerana lupa
memasukkan getah ke bilik air, habis seluruh dapur banjir ditenggelami
air sabun. Emak tidak marah.


Saya juga pernah berayun di buaian sambil berdiri walaupun ditegah.
Apabila buaian terlalu laju, saya tercampak dan muka tersembam ke pasu
bunga. Sampai ke hari ini saya masih dapat merasa tuam pasir panas di
pipi yang sudah kebiru-biruan. Emak tidak marah.


Abah juga tiada bezanya. Dia tidak pernah memaksa saya membaca buku
tetapi jika gagal mendapat tempat pertama, dia menepuk bahu saya sambil
berkata, “nanti mainlah lagi ya. Jangan baca buku.”


Dia tidak marah tetapi saya sendiri yang rasa terseksa dan bersalah.


Saya pernah bergaduh dengan Pengetua di sekolah. “Maaf ustaz, kalau
begitulah cakap ustaz, saya pun ‘tak hingin’ nak sekolah di sini!”,
jiwa anak muda di Tingkatan 4 memberontak. Saya pulang ke asrama,
mengemas beg baju dan langsung meninggalkan Negeri Sembilan untuk
pulang ke kampung tanpa berfikir panjang.


Saya tiba di Ipoh selewat jam 11 malam. Abah amat terkejut dengan
tindakan saya berhenti sekolah, tetapi dia tidak marah. Dia berikan
saya wang RM50 sambil berkata, “ambil duit ni dan uruskan sendiri kamu
nak bersekolah mana selepas ini”. Itu cara abah. Dia jarang sekali
marah.


Emak dan abah amat mudah memaafkan saya. Tidak kira apa sahaja kerenah
kami, mereka memaafkan kami seadanya. Mereka menerima kami sebagai
anak-anak yang banyak kelemahan dan atas penerimaan itu, mereka
mengasihi kami TANPA SYARAT.


Emak dan abah menerima saya atas segala yang ada pada diri ini. Saya
taat atau degil, saya rajin dan saya culas, saya senyum atau saya
menjerit, mereka menerima saya seadanya. Mereka terus menyayangi dan
mengasihi saya tanpa syarat. Mereka tidak pernah memberitahu saya
bahawa semua kebaikan yang mereka buat selama ini, mesti dibalas
apabila kami telah dewasa. Kami balas atau tidak, kami ingat atau lupa,
tugas mereka hanyalah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang, TANPA
SYARAT.


Allah memberikan percikan sifat Rahman dan Rahim untuk makhluk-Nya
mengasihi tanpa syarat, hanyalah pada naluri dan hati seorang ibu dan
bapa kepada anaknya. Suami mengasihi isteri, sering mengharap balas.
Isteri mengasihi suami, kerap juga ada sesuatu yang terselindung di
sebaliknya. Apatah lagi jika hanya antara dua sahabat. Sukar untuk
dipastikan tulus persahabatan mereka. Bolehkah seorang sahabat
memaafkan sahabatnya tanpa syarat? Mungkin ada, tapi sering tiada.


Apa yang pasti, hanya ibu bapa sahaja yang mampu mengasihi anak-anaknya
tanpa syarat. Sebab itulah anak-anak tidak mampu membalas kasih itu.
Jika seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sanggup berjaga malam dan
berdoa agar si anak sembuh dan dipanjangkan umur. Namun apabila tiba
giliran anak menjaga ibu bapanya, mereka mungkin terus menjaga, tetapi
hati mudah berkata, “bilalah orang tua ini nak mati!”. Ya Allah,
lindungilah aku dari menjadi anak seperti itu.


Hati saya amat sedih melihat kaum Cina di KL berebut-rebut menghantar
ibu dan bapa mereka ke wad kecemasan Hospital UKM sehari sebelum Tahun
Baru Cina. Pesakit berumur 60 tahun (kalau tak silap saya) ke atas,
rawatan di HUKM adalah percuma. Maka inilah cara mudah mereka untuk get
rid ibu bapa mereka di musim perayaan. Kalau hantar ke rumah orang
tua-tua, mahal pulak bayarannya. Allah Allah….


Saya masih ingat dialog ayah tengah hari itu. Dia baru sahaja pulang dari menunaikan Haji.

“Abah kat Mekah doa apa, abah?”, saya bertanya.


“Abah doa supaya Allah jangan panjangkan umur abah sampai nyanyuk.
Takut anak-anak tak tahan. Takut kamu jadi anak durhaka!”, kata ayah
saya sambil mata redupnya merenung saya yang terkelu lidah. “Abah,
jangan cakap macam tu…”, saya sebak dan hanya mampu membiarkan air mata
kering di pipi. Ayah pergi meninggalkan kami pada malam hari lahir saya
yang ke-17, hanya setahun lebih selepas perbualan kami itu.


Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah dan bonda. Kasihnya kadang-kadang
tidak sampai ke makam ayah dan bonda. Namun seorang ibu dan ayah, mampu
menahan pedih dan perit membesarkan anak-anaknya. Bukan setahun dua
malah majoriti nyawa dan usia. Mereka mampu membelai, mereka mudah
memaafkan kita, kerana mereka kasih dan cinta, dengan CINTA TANPA
SYARAT.


Ya Allah, aku lemah, aku banyak dosa. Aku suka mengeluh, aku kerap
lalai dan alpa. Ampunkanlah aku ya Allah. Ampunkan diriku dengan
pengampunan oleh sifat-Mu yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha
Penyayang. Ampun dan kasihanilah aku, mudah-mudahan tanpa banyak hisab,
tanpa banyak syarat, sebagaimana ibu bapaku memaafkan aku tanpa syarat,
mengasihiku tanpa mengharapkan balasan.


Ampunkan jua mereka, dan limpahkan Rahmah-Mu kepada mereka. Mereka yang
mengasihiku tanpa syarat, Kau maafkan mereka dan limpahkan
Kasih-sayangMu kepada mereka, tanpa hisab dan syarat…


NAMUN…

Mungkinkah semua itu, Allah kurniakan kepada saya? Siapakah saya
untuk meminta pengampunan yang terus tanpa syarat? Malah jika setiap
detik hidup dalam sehari itu dihitung, terasa betapa dosa sahaja yang
banyak berbekas. Sedangkan tanpa saya sedar saya banyak meletakkan
syarat terhadap Allah. Aku ingat kepada-Mu, dengan syarat aku sudah
hilang penyelesaian. Aku sanggup lakukan apa yang Engkau suruh, tetapi
selepas aku melihat apa kebaikan yang aku dapat!


Hinanya diriku. Lupa sudah pada hakikat diri sebagai hamba. Hamba yang
tidak layak meminta, apatah lagi untuk meletakkan syarat kepada
Tuhannya. Astaghfirullah.


Menghitung hari, padanya terpalit pelbagai dosa. Paling kurang, setiap
hari saya dibelenggu rasa terkilan dan berdosa kerana bonda kesunyian
di kampung. Setelah pulang ke Malaysia, saya masih belum dapat
menjaganya di depan mata.


Bayangkan, jika Allah mengampunkan kita dengan syarat, binasalah diri
ini. Mampukah saya lepas segala syarat itu? Jika Allah syaratkan setiap
solatku mesti khusyuk, apakah ada satu solatku yang sampai kepada apa
yang Allah syaratkan itu?


Sesungguhnya tidak mungkin kita selamat dengan hanya melihat pada
amalan. Melainkan Rahmat Allah itu jualah jawapannya. Dengan kasih
sayang-Nya.


Tetapi Rahmat Allah bukan perkara kecil. Ia diminta dengan tawasul kita
kepada sifat al-Wahhab Allah SWT. Saya baru mendengar kuliah 99 nama
Allah tentang al-Wahhab dari Ustaz Kariman dan ia menambah hiba di hati
saya.


Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha
Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di
dalamnya lima sifat:


Memberi tanpa meminta apa-apa
balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada
Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang
al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan
sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar
mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak
berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak
durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih
sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.


Memberi secara berulang-ulang.
Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak
Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu
bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan
bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan
cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya
pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup
duniawi.


Memberi tanpa diminta. Allah
SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada
pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang
cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita
minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang
al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa.
Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu
mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada
kita, sayang yang diberi tanpa diminta.


Memberi sesuatu yang amat
berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu
perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan
sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga.
Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan
kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat,
satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan.
Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya
sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar.
Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita.
Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua
pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya
ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna,
menjadi insan yang berjaya dan mulia.


Memberi sesuatu yang baik untuk
menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan
pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut
dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan.
Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu
agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar
dengannya kita berbuat baik.


Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita.
Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu
jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk
anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani
kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah
terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti
kita.


“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah
mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika
diriku masih kecil”.

Disediakan oleh Zulfadhli Al Fahmi, Sarawak Malaysia.

Akademi Pengajian Islam University Malaya

Ana copy paste dari

www.saifulislam.com

Cinta Luar Biasa

Cinta luar biasa..
Cinta seorang Kekasih kepada umatnya..
Hingga pada hembusan nafasnya yang
terakhir..
Lidah Rasulullah menuturkan
tanpa henti..
Ummati.. ummati.. ummati..

Cinta luar biasa..
Kisah cinta Handzalah..
Meninggalkan isteri di malam pernikahan..
Lantaran menyahut seruan jihad..
Akhirnya syahid di medan perjuangan..

Cinta luar biasa..
Seteguh kasih Khadijah..
Tak pernah jemu memberikan sokongan..
Rela mengorbankan segala
kemewahan..
Di saat Rasulullah dan Islam dipinggirkan. .

Cinta luar biasa..
Kisah kesetiaan Abu Bakar..
Kasih seorang sahabat yg
tiada tandingan..
Insan yang sentiasa membenarkan..
Sewaktu kata-kata Rasulullah dipersendakan..

Cinta luar biasa..
Kisah ketabahan Hajar..
Ditinggalkan di tanah yang gersang bersama Ismail..
Bukti kasih seorang ibu yang berlarian mencari air..
Tatkala mendengar tangisan si anak kecil..

Cinta luar biasa..
Umpama keberanian Ali..
Di malam penghijrahan Nabi..
Menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya..
Walaupun jiwa menjadi taruhan..

 

1 Syawal…Aku Menantimu..

Salam semua..rasanye da lama benar sy x mnulis kat cni..2 post yg lpas da tlalu lm ade dlm blog ni tnpe ade smbungan lpas tu..xde idea lak nk wat cite lg..heheh. Hurm..bulan pose da nk smpai ke pnghujungnye…Sabtu ni sume umat Islam di tanah air kite yg tcinta ni akan mnyambut Hari Raya Aidilfitri..tak sabar rsnye nak blik umah..lmbtnye ms blalu..kwn2 yg lain hmpir sume da blik..tgallah sy sorg2 kat sini..xpe la..nnti blik gak..=) ape2 pun sy ucapkan Salam Lebaran buat sume, jimat2 bblanje, hati2 dlm pjlnn pulang ke kampung, ingat org tersayang..=) 

                7uc08ylb0m_103_1

Sahabat

Oleh: Sunah Mohammad

Bf1_1

(Satu, due, tige…hmm…da tige hari…)

Aku mengeluh berat. Pilu di hati mengenangkan sudah tiga hari mereka tidak
menegurku. Aku tidak tahu punca sebenar yang menyebabkan mereka seakan-akan
menyisihkan aku itu.

Aku keluar dari bilikku. Menoleh ke sebelah kanan, bilik dua orang sahabat
yang lain. Aku lihat pula bilik dua orang sahabat yang lain, di hadapanku.
Kedua-dua pintu itu tertutup rapat. Perlahan-lahan aku melangkah menuruni
tangga rumah banglo dua tingkat itu. Entah mengapa, suasana begitu sunyi ku
rasakan. (Mane semua orang ni?) Aku menuju ke dapur. Kosong. Ketika itulah aku
terdengar suara gelak ketawa di halaman belakang. Aku segera menghampiri pintu
belakang yang sedikit terbuka. Apabila aku menjenguk ke luar, Azie, Nisa, dan
Seri kelihatan sedang minum petang di taman kecil di belakang rumah. Aku
mengatur langkah menuju ke arah mereka.

“Azie, mane Syim dan Icah? Tak nampak mereka pun?” tanyaku perlahan. Mereka
semua terdiam. Lama aku berdiri di situ menunggu jawapan.

“Mane nak nampak, asyik terperuk dalam bilik je,” suara Seri sinis. Aku
tersentak. Selama ini mereka tidak kisah pun kalau aku duduk menulis di mejaku
sepanjang hari, mengapa baru sekarang mereka mengungkitnya? Pertanyaan yang
hanya keluar di benakku itu tidak terjawab apabila Azie tiba-tiba berdiri.

“Jom ar masuk dalam, tiba-tiba jek rasa panas kat belakang ni.” Seri dan
Nisa turut berdiri. Mereka menjeling tajam ke arahku sebelum meninggalkan aku
termangu-mangu di situ.

(Ya Allah… Apakah kesalahan yang telah aku lakukan, sehingga mereka
memperlakukan aku begini…?) Diseka air mataku yang menitis. Aku tidak mahu
mereka melihatku menangis kerana perbuatan mereka. Aku masuk semula ke dalam
rumah. Langkahku terhenti di tepi tangga apabila mendengar suara Icah di ruang
tamu. Segera aku menuju ke ruang tamu.

“Kesian…tak kene layan…!” Suara Seri menghentikan lagi langkahku.
Kedengaran suara Azie, Nisa, dan Syim ketawa.

“Ape lagi yang korang buat ni…?” Icah bertanya. “Tak habis-habis lagi ke
nak sakitkan hati roomate aku tu?”

“Icah…kau masih nak bela die ke lepas ape yang die buat? Kau tak
kesiankan Seri ke? Handphone die da hilang sekarang ni, die tak dapat nak
contanct family die da. Semua sebab budak tu,” tegas Syim. Aku tersentak
mendengar kata-kata Syim itu. (Ini ke sebabnye? Ya Allah…)

“Kau pasti ke Zura yang ambil, Seri?” Icah tidak puas hati.

“Bukan ambil, CURI!” Nisa menyampuk.

“Astaghfirullahal’azim…takkan sampai mencuri, Nisa…” kata Icah
perlahan. Kemudian, dia memandang ke arah Seri.

“Aku…aku… Ah, aku nampak die masuk bilik aku hari tu! Mane ade orang
lain, Nisa kan balik kampung hari tu,” kata Seri yakin. Ketika itulah matanya
tiba-tiba memandang ke arah tangga. Dia kelihatan terkejut sedikit apabila
menyedari aku berada di situ. Aku yang ketika itu sudah tidak dapat menahan
sebak di dada melangkah sedikit ke hadapan.

“Seri…, walaupun aku tak berpeluang untuk memiliki barang-barang mewah
macam kau, aku tak pernah berniat walau sekelumit pun nak mencuri apa yang kau
ade,” kali ini aku membiarkan sahaja air mata yang mengalir. “Aku tak sangka,
ini yang menjadi punca korang sume seolah-olah menyingkirkan aku.”

“Zura…,” Icah cuba memujukku. Aku tidak mempedulikannya. Aku segera berlari
naik ke tingkat atas. Entah berapa lama aku menangis hingga tidak menyedari
bila waktunya aku tertidur.

***

“Zura…” Aku menukar posisi tidurku.

“Zura, bangunlah…dah nak masuk Maghrib ni. Tak elok tidur waktu macam
ni,” suara milik Icah itu berhasil membuatkan aku membuka mata. Namun, hatiku
masih mengenang peristiwa sebelum tidurku tadi. Air mataku mengalir lagi.

“Zura…, janganlah macam ni…,” Icah memujuk. Aku merenung ke dalam
matanya. Segera dipeluk sahabat karib merangkap teman sebilikku itu.

“Icah…aku tak buat…” Aku menangis di dalam pelukannya.

“Ye, Zura… Aku percaya kau tak buat macam tu, tapi kite tak dapat nak
buat apa-apa selagi tak ada bukti,” pujuk Icah lagi.

“Memang aku tak buat macam tu…” Esakan tangisku semakin kuat kedengaran.

“Zura, hanya satu je yang boleh tolong kau. Tenangkan hati, pergilah
menghadapNye. Semoga kau mendapat petunjuk…da masuk waktu ni. Pergilah…”
Icah menyeka air mataku yang mengalir. Ku lihat air matanya bergenang,
menangiskah dia melihat keadaanku ini? (Ya Allah…aku tak boleh buat sahabatku
bersedih…)

“Icah, syukran…” Aku tersenyum tawar. Dia mengangguk. Segera aku menuju
ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk. Apabila aku keluar
dari bilik air, Icah sudah tiada di situ. Ku hamparkan sejadah berwarna hijau
lumut dan mengenakan telekung pemberian ibuku. Setelah selesai solat Maghrib,
aku berdoa memohon petunjukNya.

“Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah dosa hambamu ini. Ampunilah dosa ibu dan
ayahku, saudara-saudaraku, dan sahabat-sahabatku. Kasihilah kami, ya Allah…
Tabahkan hati kami ya Allah. Tenangkan hati kami dengan segala ketentuanMu. Dekatkanlah
hati kami kepadaMu ya Allah…agar cinta kami kepadaMu akan menjadi cinta abadi
buat kami.

“Ya Allah… Kau memberikan aku sahabat yang terbaik untukku. Kau
menetapkan sahabat yang sejati buatku. Kau yang menetapkan satu-satu ikatan
persaudaraan itu menjadi erat keranaMu. Kau juga yang menetapkan satu-satu
ikatan persaudaraan itu terputus kerana keegoan kami. Segala yang baik itu
datangnya dariMu ya Rabb…dan segala yang buruk itu datangnya dari kami…

“Ya Allah…berikanlah aku petunjukMu… Aku menyayangi
sahabat-sahabatku… Selama ini kami sentiasa bersama dalam suka dan duka.
Selama ini kami bersama mencapai cita-cita. Namun, semua itu tiba-tiba bertukar
menjadi api yang membakar ikatan antara kami hanya kerana salah faham. Jikalau
ini adalah ujianMu untuk kami kerana Kau kasihkan kami ya Allah, janganlah Kau
membiarkan sahabat-sahabatku terus menanggung dosa kerana berprasangka buruk
padaku ya Allah… Kasihanilah mereka… Kau tunjukkanlah apa yang tersembunyi,
agar terlerai segala kekusutan dan terjawab segala persoalan. Kau berikanlah
kami petunjuk agar ikatan yang seolah-olah telah terputus ini tersimpul semula.
Hanya kepadaMu aku memohon petunjuk dan diberikan hidayah…kerana sesungguhnya
hanya Kau yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui… Amiin…” Aku meraup wajah
yang basah. Apabila aku berdiri untuk mencapai tafsir al-Quran yang terletak di
atas meja, pintu bilik diketuk perlahan. Aku menoleh ke arah pintu yang sudah
terbuka, kelihatan Seri sedang memandang sayu ke arahku. Dia menghampiriku
lantas memelukku erat. Aku terpinga-pinga sebentar.

“Zura…” suara Seri seakan-akan menggigil. Menangiskah dia? Aku meleraikan
pelukan itu lalu memandang ke wajahnya. Dia menangis, pilu hatiku melihatnya
begitu.

“Kenape ni Seri…?” tanyaku perlahan. Terlupa sebentar akan masalah yang
timbul antara kami.

“Maafkan aku… Aku dah salah faham…Aku berdosa kepada kau…Aku
berdosa…,” tangisan Seri semakin kuat. “Aku dah jumpa handphone aku…jatuh
bawah meja kat tepi katil…bukan kau, Zura…”

“Alhamdulillah… Dah lah, jangan menangis lagi… Aku da maafkan kau,
Seri…” Aku memeluknya kembali.

“Kami juga….” Aku menoleh ke arah pintu bilik. Azie, Nisa, Syim, dan Icah
berada di situ. Icah sedang tersenyum. Aku melemparkan senyuman kepada mereka.
(Syukran, ya Rabb…)

***

‘Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta
berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.’<al-A’raaf: 199> ‘Dan
tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang
lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan
seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.’<Fusshilat: 34>
‘Kasihanilah siapa yang di bumi supaya kamu akan dikasihi oleh siapa yang di
langit.’ <HR. Tabrani> ‘Maka adakanlah perdamaian di antara
saudara-saudaramu, dan takutlah kepada Allah agar kamu mendapat rahmatNya.’
<al-Hujrat: 10> ‘Sahabat yang paling baik di sisi Allah ialah orang-orang
yang paling baik terhadap sahabatnya. Tetangga yang paling baik di sisi Allah
ialah orang-orang yang paling baik terhadap tetangganya.’ <HR. Tirmizi> ‘Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan
(menggunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah)
hubungan silaturrahim.’<an-Nisa’: 1>

Cinta DIA

Oleh: Sunah Mohammad

31891954425246l

Dia duduk di kerusi bersebelahan
denganku setelah Maya memanggilnya. Aku berasa agak kekok, dijarakkan sedikit
diriku daripadanya. Kami diam membisu untuk beberapa saat sebelum Maya
memulakan perbualan.

“Nape tak keluar hari
tu?”

“Tidur…”

“Tipu,” pintasku. “Hari
tu orang nampak Syam.”

“Kat mane?” Syam
menjeling.

“Kat luar.”

“Dengan sape?”

“Sorang.”

“Ha..betul la tu,” Syam
tersengih.

“Bile la Syam nak belanje
kitorang?” tanya Maya.

“Jumaat ni, Jumaat ni.
Eh, Sabtu, Sabtu.”

“Sabtu ni kan ade kenduri
tu?” aku hairan.

“Kite gi same eh?” ajak
Maya. Syam mengangguk.

“Betul ke ni?” aku kurang
pasti. Syam mengangguk lagi. Kemudian, kami memandang ke luar kedai makan itu.
Pelanggan pada malam itu agak banyak, tidak seperti yang dikhabarkan oleh Kak
Izah semasa aku dan Maya datang ke kedai tersebut seminggu yang lalu.

“Tunggu hari cuti yang
satu lagi la,” Syam bersuara. Aku dan Maya memandangnya.

“La…Maya dah balik masa
tu. Cuti Maya dah nak habis…” keluh Maya.

“Kejapnye cuti?” tanya
Syam. Maya tidak membalas, dibiarkan sahaja soalan Syam itu tidak terjawab. Aku
diam, memerhatikan gelagat para pelanggan di luar kedai. Seketika kemudian,
empat orang pelanggan masuk dan duduk di meja yang berhadapan dengan meja kami.
Kak Izah mengambil order.

“Tu, gi la buat air…”
kata Maya. Syam tidak berganjak dari tempat duduknya. Masih bersandar sambil
merenung kosong ke arah meja kami. Setelah Kak Izah selesai mengambil order,
aku mengalihkan pandanganku ke arah Syam yang masih membatu.

“Syam, gi la buat air
tu…” kataku.

“Ye, nak gi buat la
ni…” Syam bingkas bangun lalu membuat kerjanya seperti biasa. Kak Hani pula
menghampiri meja kami, duduk di tempat yang telah Syam tinggalkan.

“Akak gi kenduri hari
Sabtu ni nanti?” tanya Maya.

“Kenduri? Hm… Bos tak
bagitau ape-ape pun… Tak confirm lagi.”

“O… Erm, dah lame
kitorang kat sini. Kitorang balik dulu la ek.” Aku menghulurkan tangan untuk
bersalaman dengannya.

“Eh, da nak balik da?”
Kak Hani menyambut tanganku. Aku mengangguk perlahan. Maya turut bersalaman
dengannya. Kemudian, kami mendekati Kak Izah yang berada di kaunter.

“Akak, kitorang nak balik
dulu eh,” pinta Maya.

“Awalnye?” tanya Kak
Izah.

“Da lame, kak. Lagipun,
ade orang nak gune kereta tu…” jelas Maya.

“O..” Kami bersalaman
dengannya.

***

2846388573985l

Aku duduk di birai katil.
Kebingungan. Aku teringat kembali kenangan silam. Pilu begitu terasa dalam
hatiku. Rasa bersalah menguasai diriku apabila mengenangkan reaksi dingin
daripadanya semasa berbual dengan aku dan Maya.

(Maafkan aku, Syam… Kejamkah
aku bila membuat keputusan begitu dulu? Apakah perasaan ini? Ya Allah, salahkah
aku berbuat begitu?)

“Liya, dah solat Isyak
belum?” Suara emak menghentikan lamunanku.

“Astaghfirullahal’azim…”
aku beristighfar. (Kenapa aku asyik fikirkan benda ni?) “Belum, mak. Syukran.”

Aku menuju ke bilik air,
membasahi wajahku untuk menghadapnya, Rabb yang Maha Agung. Hanya
kepadaNya aku boleh meminta petunjuk, hanya Dia yang Maha Mengetahui akan
segalanya. Dia Maha Berkuasa menentukan apa sahaja yang berlaku di muka bumi
ini mengikut kehendakNya.

Selepas mengucapkan
salam, aku tunduk sujud kepadaNya.

“Segala puji bagiMu ya
Allah…pencipta sekalian alam. Segala puji bagiMu ya Allah…Tiada Tuhan
selain dariMu. Segala puji bagiMu ya Allah…yang memiliki Arasy yang agung.
Segala puji bagiMu ya Allah…yang sentiasa mendengar permintaanku dan
mengabulkan doa-doaku. Segala puji bagiMu ya Allah…yang memberi keyakinan
kepadaku dan menghilangkan keraguanku. Segala puji bagiMu ya Allah…tiada
cinta yang lebih tinggi daripada cintaku padaMu…kerana Kau pemilik cinta
abadi!

“Ya Allah…ampunilah
dosa-dosaku. HambaMu ini begitu rendah dan hina di hadapanMu ya Allah. Aku
sering memohon keampunan dariMu, tetapi aku bimbang andai itu bukan tulus dari
hatiku. Aku bimbang keampunan yang kupohon dariMu hanya lahir dari bibirku sahaja.
Dekatkanlah hatiku padaMu ya Allah. HambaMu ini bimbang akan kehilangan
cintaMu. Berikan aku petunjukMu ya Allah. Aku takut akan hadir cinta yang
melebihi cintaku padaMu. Berikan aku kekuatan ya Allah. Sesungguhnya diri ini
begitu lemah menangani kehidupan duniawi. Hanya cinta kepadaMu yang mampu
membuatkan aku bertahan di dunia persinggahan ini…kerana aku takut akan
berdosa kepadaMu ya Allah.

“Ya Allah…aku rasa
bersalah kepada dia. Aku kasih kepada dia sebagaimana aku kasih kepada
sahabat-sahabatku yang lainnya. Tidak lebih daripada itu. Mengapa setelah lama
begini dan setelah aku mendekatiMu sedekat ini, aku sering teringat akan dia.
Perasaan bersalah begitu menguasai diriku ya Allah. Aku takut ya Allah. Berikan
aku kekuatan dan kesabaran agar aku dapat terus menghadapinya. Berikan aku
kasih dan sayangMu. Hilangkan segala ketakutan dan kesalahan hambaMu ini ya
Allah. Andai ada cinta lain selain dari cintaku padaMu, janganlah cinta itu melebihi
cintaku padaMu…Sesungguhnya hanya Kau yang Maha Berkuasa akan
segalanya…Amin!” Aku bangun, menyeka air mata dan merenung sejadah di
hadapanku.

“Bimbinglah aku, ya
Rabb…”

***

‘Tidak ada kesusahan
(atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan
sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima
apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.’<al-Taghabun: 11> ‘Dan bertakwalah
kepada Allah yang dengan (menggunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama
lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim.’<an-Nisa’: 1> ‘Dan apa
sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu
sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari
kesalahan-kesalahanmu).’<asy-Syura: 30> ‘Dan janganlah kamu mengikuti
hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya
orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat.’<Shad:
26>